KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Pemenang kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) bakal menerima sokongan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataannya memaklumkan, FFM34 yang bertemakan Karya Kreatif, Sinema Dinamik itu turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, selaras dengan piawaian antarabangsa bagi menghargai tenaga kreatif di balik tabir.
"Pemenang 27 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas menerima RM10,000 berserta trofi.
"Selain itu, pemenang bagi tujuh kategori iaitu Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Terbaik, serta Filem Pendek Terbaik akan menerima hadiah berjumlah RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS," jelas kenyataan tersebut.
Perkara itu diumumkan pada majlis perasmian FFM34 yang disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di sini, hari ini.
"FFM34 bakal berlangsung pada 1 November depan (8.30 malam) di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media dan akan disiar secara langsung di TV2 RTM serta YouTube FINAS," menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menyatakan, bagi menghargai jasa tokoh seni yang telah mencorakkan perjalanan sinema tanah air, FINAS turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh Perfileman Veteran Negara sebagai program sisipan FFM34 termasuk Seniwati Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Datuk Rahim Razali serta Othman Hafsham.
Orang ramai boleh melayari https://ffm.finas.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan FFM34.