KUALA TERENGGANU, 28 April- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri meneroka industri hidrogen hijau sebagai sumber tenaga hijau dan boleh diperbaharui.
Ia perlu diteroka dengan sebaiknya bagi menjamin kemakmuran dan perkembangan ekonomi negeri yang berterusan.
Baginda bertitah, Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen dijangka dapat membantu Malaysia meneroka pasaran hidrogren hijau global bernilai sekurang-kurangnya RM824 bilion menjelang 2050.
Menerusi usaha yang betul baginda yakin kerajaan negeri mampu menarik pelaburan dari dalam dan luar negara bagi membiayai pengeluaran hidrogen hijau.
"Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri boleh menawarkan insentif seperti harga tanah industri yang berpatutan dan pasukan petugas khas bagi menarik peluang pelaburan dalam industri hidrogen hijau di Terengganu.
"Penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan hidrogen hijau melalui sumber tenaga boleh baharu perlu diberi penekanan agar dapat dikembangkan,"titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Yang Ke-62 di Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendahului senarai dengan menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu SSMZ Yang Amat Terpilih membawa gelaran Datuk Seri.
Ia diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu DSMZ Yang Amat Terpilih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi yang membawa gelaran Datuk.
Turut dianugerahkan DSMZ ialah Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Selain itu, baginda turut berkenan mengurniakan kepada 25 individu Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu DPMT Yang Amat Dihormati.
Pada Majlis Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2024 seramai 104 individu terpilih menerimanya.
Terdahulu Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin serta Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berangkat tiba di Balairung Seri pada 10.30 pagi tadi.