CYBERJAYA, 28 April- 13,000 peserta pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan, disasar akan dilatih tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan setelah dua bulan program itu dilancarkan, seramai 4,000 individu telah berjaya dilatih.
Menurutnya, pada awal pelancaran program itu pada Februari lalu, pihaknya menyasarkan 10,000 pelatih.
Bagaimanapun, program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan pendaftaran mencapai sehingga 13,000 pelatih.
"Begitu ramai yang berminat dan 13,000 orang yang telah mendaftar. Kita sudah latih 4,000 orang dalam dua bulan dan kita sasarkan semuanya akan sempurnakan latihan tersebut."
"Latihan ini kita jalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan selesai pada tahun ini juga. Kesihatan mental merupakan fokus KESUMA tahun ini untuk memperkasa dasar kesihatan mental di tempat kerja termasuk sektor awam," dalam sidang media selepas Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja yang berlangsung, di sini.
Beliau menyifatkan program itu merupakan platform terbaik untuk melatih individu yang berupaya memberi pertolongan dan intervensi awal kepada rakan sekerja yang mengalami tekanan psikologi di tempat kerja.
Sambutan itu menghimpunkan 2,500 peserta yang terdiri daripada pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
Dalam pada itu, bacaan ikrar integriti yang dilafazkan semua peserta diiktiraf Malaysian Book of Records (MBOR), dicatatkan sebagai perhimpunan terbesar bagi bacaan ikrar integriti oleh pengamal KKP.