fb fb fb fb fb

Sultan Terengganu rasmi Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin

(Sultan Terengganu rasmi Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin)

KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin dilancarkan hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin  berkenan merasmikan mushaf berkenaan yang  beridentitikan hiasan Terengganu.

Baginda bertitah penghasilan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin ini adalah yang terbaharu selepas penulisan terakhir oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin III pada 1890 iaitu kira-kira 120 tahun lalu.

Titah baginda Kesultanan Terengganu sejak dahulu lagi amat sinonim dan tersohor dalam menaungi aktiviti penulisan mushaf (naskah al-Quran bertulis tangan).

Mushaf Terengganu bukan sekadar penukilan semata-mata malah ia turut diakui pengkaji mempunyai keunikan , motivasi dan nilai tersendiri.

Tulisannya lebih kemas dan mewah dengan perada emas serta kaya dengan lorekan seni bina rumah Terengganu yang bermotifkan bunga-bungaan.

Ia sekali gus menggambarkan nilai tatatertib kehidupan dan budaya bangsa Melayu Terengganu.

Penulisan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin dilakukan pasukan khas terdiri anak jati Terengganu yang diketuai Ahmad Zafuan Datuk Embong dibantu Mohd Shafeq Mohamad, Ahmad Nashidi Ismail, Nurul Ain Ruslan dan Nurhasma Saira Ahmad.

Baginda bertitah selepas perasmian mushaf berkenaan di Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah , Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sultan Mizan juga berkenan menyampaikan mushaf kepada masjid terpilih seluruh negeri dan Pegawai Agama Daerah.

(Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin dilancarkan hari ini)

Media Baharu