(Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan merasmikan majlis Santapan Budi Gemilang MASTI 2023 di Kangar/Media Istana Arau)
KANGAR, 21 Jun- Penjawat awam perlu menghayati nilai iaitu perlu bertindak dan membuat keputusan dengan pantas dalam sesuatu urusan demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.
Dalam usaha mencapai nilai kepantasan dalam melaksanakan tugas, penjawat awam perlu memiliki beberapa kompetensi yang seiring dengan keperluan semasa.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, warga Pentadbir Universiti Awam perlulah bertindak sebagai agen perubahan dan seterusnya berupaya mengetuai sesuatu perubahan khususnya dalam persekitaran yang tidak menentu.
(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail/Media Istana Arau)
Pentadbir universiti merupakan teras kepada ekosistem universiti di mana ia adalah sama pentingnya dengan peranan dan tanggungjawab para akademik.
Kecemerlangan universiti juga bergantung kepada kecekapan pihak pengurusan dalam mentadbir dasar dan proses kerja di semua peringkat organisasi’.
Baginda berharap agar para pentadbir universiti melalui MASTI terus menerokai potensi dan peluang-peluang baharu dalam memperkasakan lagi bakat pentadbir seterusnya memberi manfaat kepada komuniti sejagat.
Demikian titah baginda ketika merasmikan Majlis Santapan Budi Gemilang MASTI 2023 yang dianjurkan oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) di Kangar.