fb fb fb fb fb

Sultan Selangor ucap Selamat Hari Ulang Tahun TLDM ke-91

FOTO FB Selangor Royal Office

27 April- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-91 kepada seluruh warga TLDM.

Menurut satu hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, sebagai Kepten Yang Dipertua TLDM, Baginda berharap agar pada hari bersejarah ini, semua anggota TLDM akan terus mengekalkan adat dan tradisi tentera laut, serta berperanan sebagai barisan hadapan yang berwibawa dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.

"Baginda turut menzahirkan harapan agar seluruh warga TLDM terus mempamerkan kesetiaan, semangat juang yang tinggi dan komitmen terhadap perkhidmatan yang mereka cintai," menurut kenyataan tersebut.

Sultan Sharafuddin juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua anggota TLDM atas dedikasi, keazaman, dan semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan mereka.

Baginda turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk menghargai dan mengenang jasa, perjuangan, dan pengorbanan warga Tentera Laut yang telah berbakti kepada negara.

Di akhir kenyataan, Baginda mendoakan agar para perwira dan srikandi negara sentiasa dilindungi dan diberi kekuatan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

"Selamat Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia yang Ke-91".

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE