fb fb fb fb fb

Sultan Selangor terima zakat perniagaan anak syarikat negeri RM13.2 juta

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan bergambar selepas menerima bayaran zakat perniagaan bagi tahun 2025 (1446H0) bernilai RM1.94 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Perbadanan) Datuk Saipolyazan M Yusop (dua kiri)/Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 3 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah lebih RM13 juta daripada enam anak syarikat Kerajaan Negeri.

Enam syarikat berkenaan ialah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad sebanyak RM3.4 juta, Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (RM2.9 juta) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (RM2.6 juta). 

Selain itu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) sebanyak RM1.9 juta, Permodalan Negeri Selangor Berhad (RM1.2 juta) dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (RM1.03 juta). 

Selain itu, baginda turut berkenan menerima serahan wakaf Klinik Bergerak Pergigian Wakaf Selangor Muamalat, sumbangan daripada Wakaf Selangor Muamalat.

Ini bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan pergigian kepada masyarakat.

Baginda juga menerima serahan dana Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) berjumlah lebih RM351,000, yang akan digunakan untuk pembangunan pendidikan di negeri Selangor.

Terdahulu pada majlis itu, baginda berkenaan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 434 orang terdiri daripada asnaf, fakir, miskin dan muallaf daerah Petaling.

Sumbangan keseluruhan berjumlah RM217,000, bertujuan membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Turut berangkat hadir Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

GRACE AISYAH KEDAYAN