fb fb fb fb fb

Sultan Selangor rasmikan Masjid Ukay Perdana, santuni masyarakat setempat

AMPANG, 12 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Ukay Perdana di Ampang menerusi Majlis Perasmian Masjid Dan Berbuka Puasa bersama-sama rakyat bagi daerah Gombak, malam tadi.

Keberangkatan Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Masjid Ukay Perdana yang berkeluasan 2.90 ekar mampu menampung sehingga 1,800 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid ini telah siap dibina dan beroperasi pada Disember 2017 dengan menelan belanja sebanyak RM15 juta yang dibiaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 440 asnaf yang terdiri daripada 66 orang fakir, 287 orang miskin dan 87 muallaf.

Setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM500 dengan jumlah keseluruhan sumbangan diberikan adalah RM220,000.

Sultan Sharafuddin kemudian turut berkenan berbuka puasa dan menunaikan Solat Sunat Tarawih 20 rakaat bersama asnaf dan penduduk di sekitar Gombak.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Mufti Selangor, Datuk Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.


(Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menandatangani plak perasmian diiringi tetamu kehormat yang hadir)

Media Baharu