PUTRAJAYA, 12 April- Kerajaan isytihar seorang waris Kesultanan Sulu sebagai pengganas.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menyatakan bahawa individu bernama Muhammad Fuad Abdullah Kiram dikenal pasti Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai individu yang terlibat dalam kes Tanduo, Lahad Datu.
"Muhammad Fuad juga dikenali sebagai Fuad A Kiram diklasifikasikan sebagai pengganas pada 6 April lalu mengikut Seksyen 66, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)," kata Khairul kepada pemberita semasa sesi libat urus bersama media, di sini.
(Foto Media Sosial)
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan bakal meluncurkan laman sesawang khas yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai tuntutan pihak yang mendakwa konon waris Sultan Sulu.
Melalui laman khas itu, pihak kerajaan akan berkongsi perkembangan kes ini dalam lima versi bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Tagalog untuk rujukan umum.
Laman sesawang yang dikenali Malaysia-SuluCase.gov.my akan dirasmikan oleh Datuk Seri Azalina bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di Putrajaya, hari ini.