KUALA LUMPUR, 12 April- Arab Saudi kekal meneruskan tradisinya, memberikan sumbangan kurma kepada rakyat Malaysia sebagai makanan juadah berbuka puasa.
Sumbangan dikelola kedutaan Arab Saudi di Malaysia, diagihkan kepada jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masjid-masjid terpilih.
Menurut Duta Arab Saudi ke Malaysia, Musaid Ibrahim Al-Sulaim, tahun ini sejumlah 25 tan kurma disumbangkan bagi tujuan tersebut.
Ia merupakan tradisi sejak dari zaman pemerintahan penjaga dua kota suci Raja Fadh Abdul Aziz AL Saud hingga sekarang pada zaman pemerintahan Raja Salman Abdul Aziz Al -Saud.
Kurma-kurma tersebut disampaikan beliau kepada wakil kerajaan Malaysia yang diwakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusof dalam majlis ringkas di kedutaan Arab Saudi di ibu negara.
(Malaysia terima sumbangan 25 tan kurma daripada kerajaan Arab Saudi)