fb fb fb fb fb

Sukan SEA Hanoi 2021: Malaysia hilang 3 kilauan pingat emas menerusi acara Muay Thai

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Malaysia bakal kehilangan 3 kilauan emas di Sukan SEA Hanoi 2021 selepas tuan rumah, Vietnam memutuskan tidak mempertandingkan kategori 45, 48 dan 51 kilogram acara Muay Thai.

Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata situasi itu memaksa pihaknya menyerap masuk juara Muay Thai dunia, Mohammad Rifdean Masdor ke dalam acara Kickboxing 51 kilogram pada temasya yang bakal berlangsung Mei depan.

Rifdean yang merupakan juara bertahan bagi sukan Muay Thai kategori 48 kilogram, merupakan sandaran utama menyumbangkan pingat emas.

Justeru, Datuk Shahnaz meluahkan rasa terkilannya di atas tindakan Vietnam yang enggan menyenaraikan 3 kategori tersebut yang sebelum ini menjadi lubuk emas buat Malaysia di Sukan SEA.

"Saya sudah maklumkan yang kita tidak ada meletakkan sebarang harapan pingat tetapi kita yakin dengan kemampuan atlet kita," kata Datuk Shahnaz kepada pemberita RTM dalam satu sidang media.


(Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi dalam sidang media memaklumkan perkara tersebut)

Sementara itu, beliau turut menjelaskan atlet dari Iran, Amir Ali Naser bakal menjadi atlet naturalisasi pertama yang dipilih untuk mewakili Malaysia dalam acara Muay Thai.

"Ini adalah pertama kali kita akan hantar satu atlet naturalisasi dari Iran, yang baru dalam proses dapat warganegara dia dah duduk sini dekat 20, 30 tahun untuk kategori 63.5 kilogram," tambahnya.

Seramai sembilan orang atlet akan mewakili negara bagi sukan Kickboxing manakala enam lagi atlet akan bertanding dalam acara Muay Thai.

Sukan SEA Hanoi 2021 bakal membuka tirai pada 12 hingga 23 Mei depan di Vietnam.

Media Baharu