KUALA LUMPUR, 22 Mac - Kenaikan kos subsidi produk petroleum memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan.
Komitmen pertambahan kos subsidi tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah menjelaskan kerajaan walau bagaimanapun tidak boleh meminjam untuk membiaya belanja menguruskan kos subsidi tersebut.
"Maka kenaikan kos subsidi hendaklah diimbangi dengan pertambahan hasil dan penjimatan perbelanjaan. Benar kita merupakan negara pengeluar minyak mentah dan berkemungkinan akan mendapat peningkatan pendapatan dengan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.
"Walaubagaimanapun memandangkan konflik Rusia dan Ukraine sekarang masih pada peringkat awal kerajaan masih belum dapat membuat unjuran sebenar peningkatan pendapatan tersebut berbanding implikasi kewangan yang perlu ditanggung melalui pemberian subsidi ini," katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Parlimen.
Katanya, berdasarkan unjuran awal, kerajaan masih perlu menampung kos subsidi produk petroleum memandangkan hasil cukai minyak tidak mencukupi.
"Kerajaan sememangnya sedang mengkaji mekanisme subsidi produk minyak supaya dapat dilaksanakan secara lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada keluarga Malaysia yang benar-benar memerlukan," katanya.
Tambahnya, untuk itu, Jemaah Menteri telah memberi mandat kepada Kementerian Kewangan untuk melakukan libat urus mencari pendekataan pelaksanaan subsidi secara bersasar.