fb fb fb fb fb

Politik wang masih berterusan antara faktor CPI 2021 jatuh

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Politik wang masih berterusan serta kes rasuah berprofail tinggi dibebaskan tanpa penerangan punca kejatuhan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun lalu, kata Senator Datuk Dr Nuing Jeluing.

Menurut Ahli Dewan Negara itu, kedudukan Malaysia dalam penilaian CPI jatuh dari tangga ke-57 pada tahun 2020 manakala pada tahun 2021, Malaysia berada di tangga 62 daripada 180 buah negara.

"Oleh itu, saya mencadangkan agar akta rahsia rasmi atau Official Secret Act dikurangkan skop supaya banyak perkara dapat dikongsikan dengan awam.

"Kes-kes berprofail tinggi perlu dikongsikan secara teratur melalui hebahan media untuk pengetahuan awam.

"Laporan terkini mengenai perancangan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) perlu dibentang di parlimen dan dewan yang mulia ini," katanya di Sidang Dewang Negara hari ini.

(Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr Nuing Jeluing/FOTO Facebook)

Katanya, Malaysia boleh belajar dari negara jiran untuk menambahbaik langkah-langkah pencegahan rasuah yang ada di negara ini.

Pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penurunan kedudukan Malaysia dalam penilaian CPI 2021 bukan hanya disebabkan oleh kes-kes rasuah semata-mata, namun turut disumbangkan perkara-perkara lain.

Antara yang menyumbang kepada kemerosotan itu adalah seperti hak asasi manusia kerana kemungkinan pandangan daripada badan-badan antarabangsa berbeza dengan nilai yang ada di Malaysia.

Media Baharu