IPOH, 25 November - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak akan menerima pertambahan peruntukan berjumlah RM5.4 juta bagi belanja mengurus, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM116.9 juta dalam Belanjawan Negeri Perak 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagi belanja pembangunan pula, sebanyak RM14.0 juta disediakan kepada JPS Perak bagi pelaksanaan pelbagai projek berkaitan tebatan banjir.
Jelasnya, selain Rancangan Tebatan Banjir (RTB), peruntukan tersebut bagi pengurusan sungai dan pantai, saliran pertanian, bangunan dan Infrastruktur serta ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT)’.
"Kerajaan negeri menghargai usaha yang telah dijalankan, namun suka saya mengingatkan diri sendiri dan kita semua bahawa rakyat menuntut tindakan yang lebih proaktif dan lebih menyeluruh. Langkah pencegahan mesti dipertingkat, mitigasi diperhalus, dan proses pemulihan dipercepat agar setiap amaran cuaca tidak lagi berubah menjadi detik cemas bagi rakyat di kawasan berisiko,"
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan Negeri Perak tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Tambah Datuk Seri Saarani, JPS Perak perlu diperkukuhkan peranan sebagai pertahanan pertama negeri terhadap risiko banjir.