GUA MUSANG, 1 Februari- Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di kilometer 3 Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Penguasa Polis (Supt) Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.10 pagi mengenai satu kes kemalangan melibatkan dua buah kenderaan.
Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pukul 1 pagi melibatkan treler yang dipandu, lelaki berusia 45 tahun dengan kereta yang dipandu mangsa, lelaki 25 tahun bersama isterinya (26) dan dua anak masing-masing berusia lima dan 10 bulan.
Hasil siasatan dipercayai kereta dipandu mangsa dari arah Kuala Krai ke Gua Musang telah terbabas dan hilang kawalan ketika melalui selekoh kanan jalan.
Kenderaan itu kemudiannya masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treiler menyebabkan kenderaan berat tersebut terbabas lalu terbalik, manakala kereta dipandu mangsa terbabas dibahu kiri jalan.
Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta dan isteri yang berada di tempat duduk hadapan tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala dua lagi penumpang dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.