KUALA LUMPUR, 1 Februari- Kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan dijangka memberi manfaat besar dalam peningkatkan taraf hidup pekerja.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, langkah itu dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli.
"Selain itu, kenaikan ini juga berpotensi untuk mengubah struktur gaji secara keseluruhan. Mungkin perubahan gaji ini memberi impak dalam kadar gaji mereka sama ada dalam kementerian atau swasta.
"Mereka tentunya terkesan ekoran jurang gaji permulaan yang tidak banyak berbeza, saya percaya sebenarnya dasar ini boleh menggalakkan peningkatan produktiviti dan daya saing tenaga kerja," katanya ketika dihubungi RTM.
Pada masa sama dengan kenaikan itu ia dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara dengan mengurangkan kadar pengangguran serta mengawal kadar inflasi negara.
Bagaimanapun, para majikan perlu mengambil langkah proaktif dengan melabur dalam teknologi, dan mengurus kos secara efektif bagi memastikan kelangsungan perniagaan berjalan dengan baik.
Hari ini, kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa berbanding RM1,500 sebulan sebelum ini.