fb fb fb fb fb

STPM 2022: Calon dapat semua A di Kelantan meningkat

KOTA BHARU, 13 Julai- Seramai 84 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Kelantan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 berbanding 57 orang calon pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Hassany Hashim berkata ia menunjukkan peningkatan seramai 27 orang calon dan daripada jumlah tersebut 32 orang calon memperoleh semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki.

"Pencapaian PNGK calon sekolah kerajaan di negeri itu bagi tahun 2022 ialah 2.93 iaitu mengatasi PNGK peringkat nasional 2.82.

"Sebanyak 51 sekolah daripada 60 sekolah kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM memperoleh kelulusan penuh 100 peratus.

"Peratus lulus penuh bagi calon sekolah kerajaan pada tahun 2022 ialah 99.67 peratus atau 3,345 calon berbanding peringkat nasional 98.94 peratus atau 41,163 calon dan ini menunjukkan peringkat negeri mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.73 peratus juga satu peningkatan yang amat signifikan," katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2022 di Bilik Gerakan Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1 di sini.

Tambahnya, bilangan calon sekolah kerajaan yang menduduki STPM tahun lalu adalah seramai 3,356 orang calon.

Sekolah paling cemerlang di Kelantan bagi keputusan STPM ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas (GPS 3.50) manakala SMK Pengkalan Chepa 1 dan SMK Datuk Ahmad Maher, Kota Bharu masing GPS 3.46 dan 3.40.


(Pencapaian PNGK calon sekolah kerajaan di negeri itu bagi tahun 2022 ialah
2.93 iaitu mengatasi PNGK peringkat nasional 2.82)

Media Baharu