fb fb fb fb fb

Stigma TVET sebagai pilihan kedua perlu diubah - KSM

KUANTAN, 8 Jun- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam menangani isu pengangguran dan ketidaksepadanan kemahiran.
 
Malah program pengajian di bawah TVET adalah salah satu kaedah untuk membantu memperkuatkan pasaran pekerjaan serta meningkatkan daya saing negara dalam era Revolusi Industri 4.0.
 
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Kementerian Sumber Manusia, Dr Mohd Yusoff Abu Bakar, stigma masyarakat mengenai bidang TVET sebagai pilihan kedua perlu diubah, kerana ia telah banyak membantu pelatih memperoleh pekerjaan sesuai dengan bidang yang dipilih.

Selain itu, graduan TVET juga mempunyai kadar kebolehpasaran serta penyumbang kepada tenaga kerja mahir dalam industri termasuk sektor perkilangan dan pembuatan.

"Menurut pengalaman kita dalam bidang kemahiran ini, mereka yang lulus bidang kemahiran biasa Insya-Allah 90% hingga 95% itu mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang mereka dan gaji yang mereka terima juga agak tinggi.

Jadi, cadangan kita adalah pelajar baru lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) ini. Saya harap kita tidak pandang bidang kemahiran sebagai bidang kedua, kita perlu fikir masa depan kita," kata Dr Mohd Yusoff kepada pemberita pada Pertandingan Pra Kelayakan Worldskills Malaysia Pengajar 2023, di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan.


(Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Kementerian Sumber Manusia, Dr Mohd Yusoff Abu Bakar)

Tambahnya, bidang kemahiran TVET di negara ini  juga telah berjaya menempa nama dan meraih pelbagai anugerah dalam pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa, seiring dengan negara maju lain seperti Jepun dan Korea.

Dalam pada itu, pertandingan yang diadakan selama dua hari itu melibatkan 15 orang peserta daripada pelbagai institusi TVET seluruh negara.

Pemenang bagi pertandingan peringkat kebangsaan itu akan dipilih untuk menyertai pertandingan ke peringkat Asean di Singapura pada Julai depan manakala pertandingan di peringkat dunia akan diadakan pada tahun depan di Leon, Perancis.

Media Baharu