fb fb fb fb fb

Stesen pengawasan kualiti udara tidak kesan sebarang situasi abnormal

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 2 April - Tujuh stesen pengawasan kualiti udara terdekat tidak mengesan sebarang keadaan abnormal susulan insiden kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas Petronas di Putra Height semalam.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melakukan pemantauan termasuk di kawasan kediaman terdekat yang terjejas iaitu Kampung Kuala Sungai Baru.

"Pengawasan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas CEREX di lokasi terhampir telah dipasang bagi mencerap status kualiti udara semasa.

"Setakat ini, stesen pengawasan kualiti udara masih di paras sederhana dan tidak mengesan sebarang keadaan bacaan indeks pencemaran udara (|PU) yang abnormal susulan insiden ini," menurutnya dalam kenyataan.

Setakat 12 tengah hari, kadar IPU di Putrajaya mencatatkan bacaan 58 manakala Shah Alam merekodkan 53, Petaling Jaya (46), Klang (56), Cheras (52), Johan Setia (54) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (50).

IPU berskala antara 0-50 dikategorikan sebagai sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Wan Abdul Latiff berkata pengawasan kualiti udara menggunakan CEREX telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Putra Heights 2 iaitu kawasan yang dikenal pasti sebagai penerima sensitif dan terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Bacaan pemantauan setakat 12 tengah hari tadi mendapati tiada sebarang gas toksik dikesan dan paras kualiti udara masih normal.

"JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti pemantauan melalui darat dan udara menggunakan dron selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata koordinasi di antara agensi berkaitan bagi menangani situasi bencana juga telah diadakan.

IPU yang direkodkan di laman sesawang JAS pada 12 tengah hari menunjukkan 46 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik.

Sejumlah 22 stesen lagi merekodkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan tiada stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Bacaan IPU terkini bagi setiap jam boleh dirujuk di laman sesawang JAS di http:/leqms.doe.gov.my/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di 'Google Play'.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan (www.moh.gov.my) bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu.

TETITIA YUSOFF