
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Sebanyak RM15.5 bilion berjaya diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa bagi tempoh 2023 sehingga 2025.
- Peningkatan drastik pemulangan aset SPRM kepada RM15.5 bilion antara 2023 hingga 2025, menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan.
- Tindakan berprofil tinggi sejak Nov 2025 hingga Feb 2026 termasuk pendakwaan pegawai kanan dan ADUN, menunjukkan kesungguhan penguatkuasaan.
- Kerjasama bersepadu antara agensi menyumbang utama kepada kejayaan pemulangan aset dan penambahbaikan Indeks Persepsi Rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah pemulangan aset itu menyaksikan peningkatan mendadak, berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan itu turut menyumbang kepada penambahbaikan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.
“Pada keseluruhannya, dari tahun 2023 -2025 ada peningkatan yang mendadak. Maknanya walaupun ada tindakan diambil sebelumnya, tetapi tindakan itu tidak sepertimana berlaku setelah 2023.
“Contohnya pada 2018, sebanyak RM37 juta pemulangan aset keseluruhannya dan 2019, RM1.2 billion. Pada 2023 hingga 2025, dengan usaha SPRM dan agensi lain saya sebut tadi, ia sudah mencecah RM15.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman berkenaan jumlah keseluruhan wang dan aset yang berjaya diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tahun 2025 dalam kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan dalam tempoh November 2025 hingga Februari 2026, beberapa kes berprofil tinggi melibatkan rasuah dan salah guna kuasa juga telah diambil tindakan.
“Kes profil tinggi termasuk pertuduhan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pendakwaan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri pada Disember, empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pecah amanah pada Januari 2026.
“Terkini siasatan terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Pengarah Alam Sekitar. Ini menunjukkan kesungguhan kita lebih nyata setelah ditegaskan dalam tatakelola Kerajaan MADANI,” katanya.
Kejayaan tersebut dicapai hasil tindakan bersepadu dan kerjasama daripada pelbagai agensi berkaitan.