SPRM perkukuh pengurusan persepsi awam, elak naratif palsu

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi perhatian serius terhadap pengurusan persepsi awam, termasuk memantau sentimen dan naratif yang berlegar dalam media sosial serta ruang awam bagi memastikan maklumat tidak tepat dapat ditangani dengan pantas.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM memantau sentimen dan naratif awam di media sosial serta ruang awam setiap hari untuk menangani maklumat tidak tepat.
  • Persepsi negatif perlu dijelaskan segera; kelewatan melebihi 24 jam boleh menyebabkan ia diterima sebagai kebenaran.
  • Bahagian Komunikasi Korporat diarahkan bertindak profesional dan proaktif menyalurkan maklumat tepat kepada orang ramai.
  • Tindakan SPRM dalam penguatkuasaan dan pencegahan mesti fokus, berimpak, dan menyokong reformasi serta tadbir urus baik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, persepsi sama ada positif atau negatif tidak dapat dielakkan dalam masyarakat, namun cabaran sebenar adalah bagaimana agensi itu mengurus dan menangani persepsi berkenaan secara berkesan, khususnya apabila melibatkan isu kritikal.

Beliau menegaskan, kelewatan memberikan penjelasan atau kenyataan rasmi boleh menyebabkan sesuatu persepsi negatif diterima sebagai kebenaran oleh masyarakat, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap institusi.

“Jika persepsi negatif tidak ditangani dalam tempoh 24 jam, ia boleh diterima masyarakat sebagai kebenaran. Sebab itu saya telah mengarahkan Bahagian Komunikasi Korporat dan unit berkaitan untuk memantau persepsi ini setiap hari, bukan sekadar melihat media sosial secara peribadi,” katanya.

Sehubungan itu, Tan Sri Azam berkata, SPRM telah mengarahkan bahagian komunikasi korporat serta unit berkaitan untuk memantau persepsi awam setiap hari dan bertindak secara profesional dalam menyalurkan maklumat yang tepat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan agresif SPRM dalam aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan masyarakat perlu dilaksanakan secara berfokus, berimpak serta mempunyai hala tuju yang jelas, dan bukan sekadar mengejar jumlah tangkapan.

Menurutnya, setiap tindakan penguatkuasaan perlu menjurus kepada matlamat lebih besar termasuk pencegahan rasuah, pemerkasaan tadbir urus yang baik, reformasi institusi serta peningkatan kefahaman masyarakat terhadap isu rasuah dan salah guna kuasa.