fb fb fb fb fb

SPRM hargai ketegasan PM, perkasa agenda banteras rasuah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan penghargaan kepada ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi ruang kepada SPRM untuk bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam rasuah, penyeludupan dan penyelewengan hasil negara.

Pengiktirafan itu turut merangkumi usaha keras agensi-agensi penguat kuasa yang gigih memerangi kartel dan sindiket yang berakar umbi sejak puluhan tahun, sekali gus mengakibatkan negara menanggung kerugian mencecah berbilion ringgit.

“Pengiktirafan Perdana Menteri terhadap kejayaan menumpaskan kartel sebesar ‘kontena’ ini adalah dorongan besar kepada seluruh warga SPRM untuk terus berusaha memerangi rasuah."

"Tindakan yang diambil bukan kerja sehari dua, tetapi hasil siasatan mendalam, operasi bersepadu serta kerjasama erat antara SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi penguat kuasa lain,” kata Tan Sri Azam dalam satu kenyataan.

Tan Sri Azam turut menegaskan bahawa kejayaan menyelamatkan berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun adalah bukti keberkesanan siasatan berasaskan intelligence-based investigation (IBI) serta penggunaan teknologi analitik dan kewangan terkini.

Beliau menjelaskan bahawa kartel berkenaan bukan berskala kecil, sebaliknya bergerak melalui rangkaian besar dengan modal dan perlindungan tertentu sejak sekian lama.

“Dengan kesungguhan pasukan serta mandat jelas daripada kerajaan, SPRM bersama agensi penguat kuasa lain berjaya menumpaskan jaringan gelap tersebut,” ujarnya.

Tambah Tan Sri Azam, SPRM komited dalam memastikan segala bentuk rasuah termasuk berkaitan penyeludupan, cukai, hasil negara, ketirisan dan penggubahan wang haram ditangani secara serius tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM