fb fb fb fb fb

Pelajar UPSI dinobat juara Pertandingan Kemahiran Penjagaan Bayi dan Kanak-Kanak ASEAN 2025

Foto UPSI

NANNING, 14 November- Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama Malaysia selepas muncul johan kategori antarabangsa dalam Pertandingan Kemahiran Penjagaan Bayi dan Kanak-Kanak ASEAN 2025 yang berlangsung di Guangxi College for Preschool Education, Nanning, China.

Pemenangnya, Nurfatin Syazwani Halimi dan Hilya Fadhlina Mohd Razali merupakan pelajar Semester 1 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, cemerlang dalam dua acara utama iaitu Responsive Care in Infant Play dan Responsive Care in Infant Reading, mempamerkan kemahiran penjagaan responsif, komunikasi positif serta pendekatan pembelajaran berpusatkan kanak-kanak.

Pertandingan anjuran Guangxi College for Preschool Education dengan sokongan Education Department of Guangxi Zhuang Autonomous Region itu menghimpunkan peserta dari universiti China dan ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Delegasi UPSI diketuai Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Seah Sioh Peh, bersama jurulatih Dr. Intan Farahana Abdul Rani dan Prof. Madya Dr. Loy Chee Luan.

1411 UPSI MENANG PORTALFoto UPSI

Dr. Intan menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti pelajar UPSI bukan sahaja menguasai teori, malah memiliki kemahiran praktikal bertaraf antarabangsa.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia memperlihatkan kesungguhan, disiplin dan semangat juang tinggi dalam kalangan pelajar baharu.

Mereka bukan sekadar mewakili universiti, tetapi juga menjadi duta kecil negara yang menunjukkan kehebatan pendidikan awal kanak-kanak Malaysia di mata dunia,” ujar beliau.

Bagi Dr. Seah, penyertaan tersebut sebagai platform penting dalam melatih pelajar menghadapi persaingan global serta membuka peluang kolaborasi akademik serantau.

Nurfatin dan Hilya menyatakan rasa terharu atas kemenangan itu, menyifatkannya sebagai pengalaman bermakna yang menguji kemahiran teknikal, komunikasi serta memberi peluang memahami budaya pendidikan negara lain.

"Kami sangat bersyukur dan terharu kerana tidak menyangka dapat membawa pulang kemenangan sebagai Johan untuk UPSI. Ia adalah hasil tunjuk ajar dan bimbingan pensyarah serta sokongan semua pihak di fakulti dan universiti."

"Kami akan terus berusaha untuk menjadi pendidik awal kanak-kanak yang kompeten dan berjiwa global,” ujar Nurfatin Syazwani penuh semangat.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi agenda pengantarabangsaan UPSI dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, seiring misi universiti melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM