fb fb fb fb fb

SPRM akan mohon lucut hak aset RM170 juta dikaitkan dengan Ismail Sabri

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

KOTA BHARU, 3 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan kepada mahkamah dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi bagi melucutkan kesemua aset yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua aset yang dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram (kg) jongkong emas akan dilucut hak.

"Sekiranya, beliau mencabar di mahkamah, akan terus dijalankan perbicaraan dan wang ini kalau berjaya dilucut hak. Maka, ia akan menjadi hasil kepada kerajaan, itu yang diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPP).

"Sekarang ini pertuduhan belum lagi diputuskan sama ada ada pertuduhan ataupun tidak. Kita telah siapkan kerja dan telah kemukakan kertas penyiasatan terpulang kepada TPP untuk menilainya sama ada, ada atau tidak pertuduhan jenayah boleh dikemukakan", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Persaraan Bakti Disanjung Budi Dijunjung Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain. 

Pada majlis itu, Rosli turut menyerahkan tugas kepada Azmin Yusuff yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Kelantan yang baharu. 

Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Siasatan dibuat susulan arahan supaya beliau membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.

Dalam perkembangan lain, Tan Sri Azam berkata, SPRM akan mendakwa seorang pengarah agensi kerajaan di Kelantan atas beberapa pertuduhan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pengarah berusia 50-an itu berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan dan dipercayai melakukan kesalahan membabitkan penyalahgunaan kuasa serta meminta dan menerima rasuah.

Katanya, siasatan kes sudah selesai dan pegawai kanan berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

ROSLINA BINTI DIN