fb fb fb fb fb

Anwar jemput PM Itali hadir sidang ASEAN di Kuala Lumpur

Foto PMO

Rom, 3 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput rakan sejawatannya dari Itali, Giorgia Meloni ke Kuala Lumpur bersempena sidang ASEAN, sebagai usaha memperluas kerjasama blok serantau dengan Kesatuan Eropah (EU).

Ia juga disifatkan sebagai langkah strategik untuk dua blok ekonomi utama dunia itu menjalin hubungan lebih erat.

Menurut Datuk Seri Anwar, jemputan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara ASEAN, EU dan negara serantau, terutamanya dalam bidang pelaburan, teknologi hijau, tenaga dan keselamatan.

“Saya menjemput Perdana Menteri Meloni ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan sendiri pemeteraian kerjasama penting, termasuk projek CCUS (Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon) yang melibatkan Petronas, ENI, Pertamina dan syarikat Jepun,” katanya.

Lawatan Perdana Menteri ke Itali turut menyaksikan perbincangan mendalam dengan Menteri Pertahanan Itali, serta syarikat Leonardo mengenai pembelian pesawat maritim dan helikopter AW149, termasuk kerjasama dalam Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO), latihan, serta pemindahan teknologi di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.

Dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, kedua-dua pihak turut menyentuh soal perdagangan, pelaburan, serta solidariti terhadap Gaza, dengan Itali menyatakan sokongan terhadap pendirian Malaysia agar serangan dihentikan dan bantuan kemanusiaan disalurkan segera.

Selain itu, Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa bertemu komuniti perniagaan utama Itali, wakil badan Islam dan diaspora Malaysia di Rom dalam usaha mengukuhkan jaringan ekonomi, serta hubungan masyarakat antara kedua-dua negara.

MASNIZA AWANG KECHIK