KANGAR, 2 November - Era digitalisasi memudahkan masyarakat memperoleh dan mempelajari ilmu pengetahuan dengan mendapatkan maklumat hanya di hujung jari.
Meskipun begitu, peranan simposium atau seminar tidak terkecuali menjadi wadah perkongsian ilmu secara fizikal yang lebih efektif.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia memerlukan beberapa fasa yang melibatkan kaedah percubaan, kesilapan, kajian masalah dan keperluan agar pelaksanaannya dapat dilaksanakan dengan lancar selain menjimatkan kos.
Sehubungan itu geran penyelidikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), penyelidik yang terdiri daripada pakar-pakar daripada Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis; dapat membina data berkualiti untuk rakyat khususnya berkaitan pendidikan anak-anak asnaf di negeri itu.
"Dapatan maklumat menerusi penyelidikan ini wajar dimanfaatkan sebaiknya melalui tindakan intervensi dan langkah pembetulan dimana rancangan tindakan ini tidak terhad kepada organisasi pendidikan sahaja, tapi turut menjadi kemestian kepada jabatan-jabatan lain yang terlibat terus dengan masyarakat," titah baginda pada Majlis Penutupan Simposium Pendidikan Eksklusif Era Digitalisasi (SPEED) di sini.
Program dianjurkan FCoEE dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, diiringi Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin.