fb fb fb fb fb

Pendirian Malaysia dalam WHO CA+ antara dibangkit di Dewan Rakyat hari ini

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November- Isu pendirian kerajaan berhubung Pandemik Triti Pertubuhan Kesihatan Sedunia Perjanjian Konvensyen (WHO CA+) dan pindaan Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) antara dibincangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan  Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) kepada Menteri Kesihatan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Chiew Choon Man (PH-Miri) pula meminta Kementerian Komunikasi dan Digital menyatakan tindakan segera bagi mengatasi isu menara tanpa kuali (naked tower) di Sarawak supaya tidak lagi timbul masalah kekurangan perkhidmatan capaian Internet dan jaringan komunikasi.

Selain itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) bertanyakan sama ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan menaikkan kuota 60,000 tan metrik minyak peket bersubsidi yang mula dilaksanakan sejak 2016, memandangkan pasaran runcit sentiasa menghadapi kekurangan bekalan, pada sesi soal jawab lisan.

Usai sesi itu, sidang Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi penggulungan bagi peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan.

Perbahasan rang undang-undang tersebut bagi peringkat jawatankuasa dijadual selama 12 hari bermula 6 hingga 27 November depan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI