fb fb fb fb fb

Bekas pengarang akhbar, Sheila Rahman menang Anugerah Muhibbah bulan Oktober

Shiela Rahman diapit Haresh Deol (kanan) dan Datuk Kenny Goh

KUALA LUMPUR, 2 November- Bekas pengarang akhbar Sunday Mail, Sheila Rahman Natarajan, dinobat sebagai pemenang Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-MACROKIOSK bagi bulan Oktober atas dedikasinya terhadap kebajikan lima kanak-kanak tanpa kewarganegaraan sejak enam tahun lalu.

Sheila diibaratkan sebagai 'bidadari' kepada lima kanak-kanak tersebut, yang berumur antara empat hingga 11 tahun, kerana telah menjadikan rumah beliau sebagai tempat perlindungan, pembelajaran, serta memelihara kesejahteraan emosi dan jasmani mereka dalam setiap aspek kehidupan.

Menerusi satu kenyataan, Timbalan Presiden NPC Haresh Deol berkata, usaha Sheila bukan sahaja memastikan kanak-kanak tersebut mempunyai peluang hidup yang lebih cerah, malah turut memastikan lima beradik itu dapat tinggal bersama bapa tunggal mereka.

“Kami berharap lebih banyak perhatian akan diberikan kepada nasib individu tanpa kewarganegaraan, terutamanya kanak-kanak, supaya keperluan asas mereka, termasuk pendidikan dan kesihatan, dapat diberi perhatian.

"Meskipun ini adalah siri terakhir Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK, saya sesungguhnya berharap ini akan memperkukuhkan usaha penghargaan kepada individu-individu yang sentiasa membantu mereka yang memerlukan," tambah Haresh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK, Datuk Kenny Goh, menyifatkan usaha Shiela kepada lima kanak-kanak tersebut selama lebih dari enam tahun sebagai sesuatau yang luar biasa.

"Keikhlasan yang ditunjukkan oleh beliau mencerminkan semangat Muhibbah yang kami, sebagai rakyat Malaysia, sangat hargai. Komitmen beliau yang teguh dalam meningkatkan kehidupan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ini amat terpuji," katanya.

Sheila menceritakan bahawa dia pertama kali menyedari keadaan kanak-kanak tersebut apabila mereka dilihat merayau tanpa tujuan setiap hari di kawasan kejiranannya pada awal tahun 2017.

"Dibiar tanpa jagaan ibu beserta ayah yang berkerja keras bagi memenuhi keperluan keluarga, kanak-kanak ini terpaksa berhimpit dalam satu ruangan yang berfungsi sebagai dapur, tempat makan, serta bilik tidur, dan mereka jarang bersuara, yang mana ia bukan petanda yang baik," katanya.

Simpati dengan nasib mereka, Sheila dan suaminya Abdul Rahman Ishak tampil membantu. Mereka mendapat kerjasama dan persetujuan dari bapa kanak-kanak tersebut untuk menjaga mereka semasa dia keluar bekerja.

Sheila bersama suaminya menyediakan persekitaran yang membina dan penuh kasih sayang kepada kanak-kanak tersebut. Mereka diberi makanan, tempat tinggal, dan akses kepada pendidikan sekali gus telah mengubah hidup kanak-kanak tersebut dengan memastikan mereka menerima pendidikan yang sewajarnya.

Kelima-lima kanak-kanak itu kini berdaftar dan bersekolah di Dignity Foundation School, sebuah organisasi yang sebelum ini turut menerima Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK pada Jun 2023. Walaupun lebih berusia daripada rakan-rakan yang lain, kelima-lima mereka berjaya menyesuaikan diri dengan perjalanan pendidikan baharu mereka.

Perjalanan mendokumentasikan serta mendapatkan status kewarganegaraan kepada kanak-kanak berkenaan merupakan cabaran hebat yang dihadapi Sheila. Bermula tahun 2018, mereka berulang-alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Usaha tersebut membawa kepada pengiktirafan hak jagaan oleh mahkamah pada tahun 2019. Ia kemudiannya disusuli dengan kejayaan mendapatkan Sijil Kelahiran (Daftar Lewat Kelahiran) bukan warganegara bagi kanak-kanak ini pada tahun 2021.

Akhirnya, setelah penilaian menyeluruh dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, permohonan pengangkatan secara undang-undang oleh bapa mereka telah berjaya pada tahun 2022, yang merupakan prasyarat bagi permohonan kewarganegaraan.

Permohonan kewarganegaraan untuk lima kanak-kanak tersebut juga telah dikemukakan pada Julai 2022, menandakan satu langkah penting ke arah memberikan hak mereka sebagai warganegara Malaysia.

Menyedari usaha ikhlas beliau, Rotary Club of Ara Damansara (RCAD) serta kumpulan-kumpulan kejiranan persendirian yang lain telah bersama-sama membantu mengurangkan bebanan kos yang ditanggung beliau. Sheila memulakan usaha tersebut secara sukarela dan kesemua kos ditanggung oleh beliau sendiri.

Kini, kelima-lima kanak-kanak tersebut, yang berusia antara 11 hingga 18 tahun, lebih berkeyakinan dan telah mengatasi sebahagian besar rasa ketidaksempurnaan mereka. Mereka telah menemui 'dunia yang baharu' di luar kawasan mereka, berkat bimbingan dan sokongan yang diterima.

Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK membawa hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, sijil dan baucar daripada jenama teh gaya hidup serantau terkemuka Tealive, jenama pasaran segar gaya hidup terkemuka Jaya Grocer dan jenama yogurt asli terkenal llaollao.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE