fb fb fb fb fb

Dua kanak-kanak lemas jatuh dalam kolam udang

Foto Hiasan

SUNGAI PETANI, 2 November- Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di dalam sebuah kolam ternakan udang berdekatan rumah mereka di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda dekat sini, petang semalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, serta sepupunya, Muhammad Syafiq Amsyar Abdul Syahid, 3.

Bapa Muhammad Aidil, Mohd Ali Abdul Rahman, 48, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di kolam udang tersebut sebelum isterinya memaklumkan mengenai kehilangan anaknya serta anak saudara mereka.

"Muhammad Aidil merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan selalu ikut saya ketika saya bekerja di kolam udang.

"Sebelum kejadian saya lihat dia dan sepupunya bermain dengan arnab peliharaannya di bawah bangsal, berhampiran kolam udang itu. Selang beberapa minit, mereka berdua tidak kelihatan, hanya tinggal arnab di situ," katanya ketika ditemui pemberita.

Mohd Ali berkata usaha mencari kanak-kanak itu akhirnya membawa kepada penemuan jasad mereka di dalam kolam udang, selepas pukat di dalam kolam ditarik ke atas.

Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda dan mereka disahkan telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI