KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memberi amaran tegas agar ahli Parlimen tidak menghina atau merendahkan penjawat awam ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Tegasnya, ahli Parlimen bebas mengkritik Jemaah Menteri, termasuk menteri dan timbalan menteri, namun penjawat awam tidak boleh dijadikan sasaran kecaman, kerana mereka hanya melaksanakan dasar dan arahan kerajaan.
Tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan dan etika Dewan.
"Sesiapa juga sama ada sebelah sana atau sebelah sini yang menghina penjawat awam, saya akan ambil tindakan, anda boleh komen ahli politik, jangan komen lagi, jangan kutuk, anda boleh tanya menteri itu, kita tidak puas hati itu lain. Jangan hina penjawat awam", katanya.
Beliau berkata demikian ketika menamatkan sesi penerangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Johari turut mengingatkan ahli Parlimen agar memberi tumpuan kepada isu dasar ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat dasar bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) esok. Selain, tidak mengaitkan pegawai kerajaan semasa mencelah atau bertanyakan soalan.