fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN buka peluang lebih luas kepada PMKS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuka peluang lebih luas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk terlibat dalam perdagangan rentas sempadan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng dalam satu kenyataan memaklumkan, antara pencapaian utama sidang kemuncak itu termasuk pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0), penubuhan ASEAN Centre of Excellence for MSMEs in Green Transition (MEGA) serta penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

"Inisiatif-inisiatif penting ini bukan sahaja memperkukuh rantaian bekalan serantau, malah memberi peluang kepada PMKS untuk menyertai perdagangan rentas sempadan dengan lebih bermakna.

"Penekanan terhadap pendigitalan, peralihan hijau dan daya tahan ekonomi juga sejajar dengan agenda transformasi komuniti perniagaan ASEAN," menurut kenyataan itu.

Hasil sidang kemuncak itu menandakan satu platfrom baharu dalam usaha pengintegrasian ekonomi ASEAN yang lebih inklusif, digital dan mampan.

Pada masa sama, penubuhan ASEAN SME Caucus sempena sidang berkenaan dilihat sebagai satu inisiatif sektor swasta bagi memastikan PMKS di seluruh rantau ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serantau.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan ASEAN menerima Timor-Leste sebagai anggota penuh ke-11, yang disifatkannya sebagai langkah bersejarah mencerminkan komitmen blok itu terhadap perpaduan dan kemakmuran bersama.

"Melalui platform ini, PMKS di Malaysia dan ASEAN akan dapat menyokong usahawan di Timor-Leste menerusi bimbingan, perkongsian pengetahuan serta akses pasaran," tambah kenyataan itu.

Kejayaan penganjuran sidang kemuncak di bawah pimpinan Malaysia turut membuktikan peranan negara dalam memperkukuh ASEAN yang lebih kukuh, adil dan saling terhubung.

Selain itu dapat menjadi platform kerjasama antara persatuan perniagaan dan dewan perdagangan dalam memastikan suara sektor swasta terus diambil kira dalam pembentukan dasar serantau.

SAMENTA juga komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan komitmen yang dicapai dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk PMKS. Ia termasuk peluasan akses pasaran, kesiapsiagaan digital, pengeluaran hijau serta daya tahan eksport.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI