fb fb fb fb fb

Sorok bekalan benih padi, KPKM beri amaran kepada pihak terlibat

Foto FB Menteri

ALOR SETAR, 15 November- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi amaran kepada semua pihak berkaitan agar tidak menyorokkan bekalan benih padi sah.

Tegas Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, pihaknya memandang serius terhadap setiap laporan yang diterima dan tindakan akan diambil bagi mengatasi gangguan yang berlaku.
  
Jelas Datuk Seri Mohamad, pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk menekan kementerian dengan hal berkaitan benih padi kerana ia adalah isu yang berkait dengan makanan seluruh rakyat Malaysia.
 
"Kementerian akan mengikuti rapat situasi itu dan gangguan bekalan benih padi sah akan kembali pulih dalam tempoh terdekat," kata Mohamad dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.
 
Semalam, beliau turun padang memantau dan melihat sendiri situasi terkini bekalan benih padi sah di Kedah.
 
Pemantauan yang turut disertai Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh itu dilakukan di dua buah kilang pengeluar benih padi sah di Kodiang dan Mukim Tajar, Langgar.
 
Pemantauan dijalankan hasil aduan dari para petani berkaitan isu benih padi yang mengalami sedikit gangguan ketika ini.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM