fb fb fb fb fb

Sokongan kepada wanita bukan pilihan, tapi keperluan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) selepas merasmikan The Securities Commission (SC) Malaysia Creche And Fitness Centre (SC Creche) di ibu negara/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Organisasi di negara ini disaran menyediakan prasarana sokongan keluarga seperti pusat jagaan kanak-kanak, demi memastikan wanita tidak terpaksa memilih antara kerjaya atau keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sokongan terhadap wanita bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik negara.

“Tanpa wanita, tiada generasi akan datang. Namun, ramai wanita hari ini masih meninggalkan kerjaya kerana tanggungjawab menjaga anak. Ini satu kerugian besar kepada negara,” kata beliau ketika merasmikan The Securities Commission (SC) Malaysia Creche And Fitness Centre (SC Creche), di sini hari ini.

Nancy menegaskan bahawa negara tidak boleh kehilangan potensi separuh daripada tenaga kerjanya, memandangkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja masih rendah walaupun mereka mencatat prestasi tinggi dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pusat penjagaan kanak-kanak seperti SC Creche yang telah beroperasi sejak tahun 2000 dan terus dinaik taraf menjadi contoh terbaik bagaimana syarikat boleh menyumbang ke arah kesejahteraan keluarga dan keseimbangan kehidupan dengan kerja.

“Kemudahan penjagaan kanak-kanak bukan kemewahan, ia adalah keperluan asas. Bila anak dijaga dengan selamat, ibu bapa boleh fokus pada kerjaya mereka. Hasilnya ialah tenaga kerja yang lebih bahagia, produktif dan setia,” ujarnya.

Nancy turut menggesa lebih banyak syarikat mencontohi SC dengan menyediakan kemudahan mesra keluarga seperti pusat jagaan, gim dan ruang kerja selesa, yang secara langsung membantu kesejahteraan fizikal, mental dan emosi pekerja.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian kini sedang membangunkan Kerangka Industri Penjagaan bagi mewujudkan ekosistem sokongan menyeluruh kepada wanita sama ada sebagai pekerja, usahawan atau pemimpin masyarakat.

“Kita mahu wanita bukan sahaja menjadi pekerja yang cemerlang, tapi juga pemimpin yang berdaya saing. Untuk itu, kita perlu sediakan ekosistem sokongan menyeluruh golongan ini,” tambahnya.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN