(Pasukan SMART dijangka akan mula memasuki kawasan 'ground zero' gempa bumi di Turkiye hari ini/
FB Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri)
KUALA LUMPUR, 8 Februari- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menjadi antara pasukan negara asing yang pertama tiba di Turkiye bagi membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi gempa bumi yang kini sudah meragut lebih 7,000 nyawa termasuk di Syria.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia berjaya menghantar pasukan SMART dengan segera dalam tempoh kurang 12 jam kejadian bencana itu.
Katanya, ia adalah hasil penyelarasan sangat baik antara semua agensi kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Kedutaan Besar Republik Turkiye di Kuala Lumpur serta Turkish Airlines.
"Seramai 70 anggota pasukan itu selamat tiba di Istanbul pada pukul 6.00 pagi waktu tempatan semalam, dan turut digerakkan ke Adana bagi misi SAR di kawasan berkenaan yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara atau 987km dari Istanbul.
"Pasukan petugas itu diketuai bersama Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan objektif utama bagi memastikan segala persiapan dan perancangan untuk saluran bantuan kemanusiaan ke negara-negara terkesan akibat bencana gempa bumi ini berjalan lancar, teratur dan memenuhi garis panduan oleh kerajaan-kerajaan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Luar menasihatkan warga Malaysia yang berada di Turkiye, Syria dan negara-negara berdekatan supaya terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini.
"Patuhi nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
"Sekiranya memerlukan bantuan segera, warga Malaysia di negara-negara ini dinasihatkan segera berhubung dengan Kedutaan-kedutaan Besar Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik," katanya.
Kerajaan Malaysia menghantar pasukan SMART ke Turkiye bagi misi bantuan SAR selepas diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
"Susulan arahan perdana menteri pada petang kelmarin, Kerajaan Malaysia menghantar pasukan SMART ke Turkiye untuk terbabit dalam misi bantuan SAR mangsa yang terjejas, bersama pihak berkuasa tempatan," katanya.
(Pasukan SMART selamat tiba di Turkiye bagi menyertai misi SAR di wilayah terjejas
bencana gempa bumi/Foto FB Anwar Ibrahim)
Berita berkaitan:
Gempa bumi Turkiye: Pasukan SMART masuk kawasan ‘ground zero' hari ini