KOTA BHARU, 8 Februari-Masjid di seluruh negara disarankan mengambil inisiatif sendiri bagi membantu mangsa bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ruslan Said berkata, ia termasuk mengadakan solat hajat atau melancarkan kutipan derma bagi membantu mangsa-mangsa berkenaan.
"Itulah yang kita harapkan kepada masyarakat Malaysia yang sentiasa bersimpati membantu sama ada didalam negara atau luar negara.Kita tahu ramai mangsa terlibat dalam terkorban di Turkiye atau Syria", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Yayasan Islam Negeri Kelantan, Tunjong, disini.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah Yayasan Islam Negeri Kelantan, Engku Rajhan Engku Ismail.
MESMA yang memasuki tahun ke empat penganjurannya akan diadakan pada 6 hingga 9 Ogos depan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Mengulas lanjut, Ruslan berkata, pihaknya telah menyelaras program bantuan peringkat agensi agama di tiga masjid utama JAKIM melibatkan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Perkara tersebut bakal diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar dalam masa terdekat.
(Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ruslan Said
/FOTO RTM)