fb fb fb fb fb

Skim Perubatan MADANI rekod lebih 1 juta pesakit ringan

Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 14 Disember - Skim Perubatan MADANI telah merekodkan lebih 1 juta lawatan pesakit bagi rawatan penyakit ringan percuma di klinik swasta yang berdaftar sejak skim itu diperkenalkan, 15 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata sehingga hari ini, sebanyak 1,005,645 rawatan penyakit ringan telah diberikan kepada 785,623 pesakit melalui 2,506 klinik swasta dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM62.5 juta.

"KKM dan ProtectHealth akan terus komited memantapkan gerak kerja dalam meningkatkan penglibatan klinik-klinik swasta di seluruh negara bagi memperluas akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Dzulkefly, kerajaan telah menunjukkan komitmen yang berterusan terhadap skim tersebut dengan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta menerusi Belanjawan 2024 agar skim itu dapat diteruskan pada tahun hadapan.

"Semakan kelayakan dan carian klinik swasta boleh didapati menerusi laman sesawang www.protecthealth.com.my , aplikasi ‘Skim Perubatan MADANI’ dan MySejahtera," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN