fb fb fb fb fb

Sidang Dewan Negara ditangguh, sembilan rang undang-undang diluluskan

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Disember- Persidangan Dewan Negara melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama 12 hari sejak 27 Nov lepas yang menyaksikan sembilan rang undang-undang diluluskan.

Sepanjang persidangan itu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, Rang Undang-Undang Kewangan (No. 2) 2023, Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2023.

Selain itu, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023.

Persidangan kali ini turut menyaksikan tiga usul diluluskan iaitu kecaman terhadap kekejaman Zionis Israel ke atas Palestin, Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif serta penubuhan tiga jawatankuasa pilihan khas Dewan Negara.

Ia meliputi Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Anti Rasuah, Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat.

Selain itu, persidangan kali ini menyaksikan empat Senator baharu mengangkat sumpah jawatan dengan dua daripada mereka dilantik sebagai anggota pentadbiran susulan rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Dis lepas.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Zulkifli Hasan, yang masing-masing dilantik sebagai Menteri Kewangan ll dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Turut mengangkat sumpah Ketua UMNO Bahagian Tebrau Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Murum Michael Mujah Lihan, yang berkuat kuasa sehingga November dan Disember 2026.

Persidangan Dewan Negara ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI