JOHOR BAHRU, 4 Mac - Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA wajar dijadikan penanda aras dalam usaha kerajaan dan industri menyediakan akses kewangan yang mudah kepada pembeli rumah PR1MA.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif itu membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri.
Ini termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan.
"Inisiatif yang mesra pembeli ini pastinya dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan muda dan yang berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang mengenai pembiayaan perumahan," katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap merasmikan Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA di Residensi Larkin Indah, di sini hari ini.
Residensi Larkin Indah mempunyai 1,174 unit kediaman atas tanah berkeluasan 6.96 ekar yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.
Setakat ini, 337 unit sudah dijual manakala 642 unit ditempah.
(Ismail Sabri berucap merasmikan Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA di Residensi Larkin Indah)
Sebagai permulaan, Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA ditawarkan kepada pembeli kediaman Residensi Larkin Indah, sebelum diperluaskan ke projek PR1MA yang lain.
Sementara itu, penerima menyifatkan skim tersebut memudahkan urusan mereka dalam memohon pinjaman perumahan.
(Kerani Akaun, Wan Nuratiqah Wan Mahmod)
"Permohonan sangat mudah, saya mohon dalam bulan 12 tahun lepas dan kelulusan bank selesai semua bulan satu. Sekarang hanya tunggu rumah siap dan akan menerima kunci," kata Wan Nuratiqah Wan Mahmod.
(Jururawat, Deepa Tandavani)
"Permohonan ini tidak susah dan amat senang. Suami sebelum ini pernah juga buat pinjaman dan selalu gagal, kali ini memang rezeki dapat dan suka sangat. Urusan mudah dan pihak PR1MA juga ada membantu dalam urusan dokumen," menurut Deepa Tandavani yang juga merupakan seorang Jururawat.