KUALA LUMPUR, 12 Disember - Sistem Pusat Data Kanak-kanak Kebangsaan (NCDC) 2.0 dan integrasi Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) memperkukuh lagi peranan Malaysia dalam pembangunan awal kanak-kanak dan pendidikan berasaskan data.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata sistem NCDC 2.0 yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan pangkalan data komprehensif yang menjadi rujukan pelbagai agensi kerajaan, penggubal dasar, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merancang intervensi serta meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.
Sistem itu turut mendapat sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Bahagian PERMATA, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak.
“NCDC telah terbukti keberkesanannya di peringkat global apabila pada 2017, NCDRC diiktiraf oleh UNICEF Indonesia serta Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia sebagai pakar rujuk pembangunan pangkalan data kanak-kanak," katanya.
Menurut Fadhlina, data NCDC memainkan peranan penting semasa pandemik COVID-19 apabila digunakan bagi menyokong permohonan kelayakan TASKA menerima bantuan JKM di bawah Pakej PEMULIH.
Beliau pada masa sama menegaskan, data berpusat seperti yang dibangunkan NCDRC menjadi asas penting dalam membuat keputusan berasaskan bukti, merangka dasar lebih inklusif, serta memperkukuh kerjasama kerajaan, industri dan masyarakat sivil.
“KPM menyambut baik peluasan penggunaan sistem ini ke peringkat prasekolah dan seterusnya sekolah rendah serta menengah sebagai usaha meningkatkan kualiti pendidikan kanak-kanak," tambahnya.
Fadhlina turut mengiktiraf peranan NCDRC sebagai rakan strategik dalam pembangunan kurikulum baharu, iaitu Kurikulum Persekolahan 2026, termasuk penyelarasan semula umur prasekolah serta perancangan modul pendidikan berasaskan data.
Sekali gus menzahirkan penghargaan kepada UPSI dan NCDRC atas kejayaan melaksanakan ESD di peringkat prasekolah sehingga diiktiraf sebagai sebahagian rangkaian sekolah UNESCO di Malaysia.
"Inisiatif ini menyemai kesedaran kelestarian alam sekitar sejak usia awal dan membuktikan komitmen berterusan institusi akademia dalam memperkasa generasi muda," katanya ketika melancarkan sistem NCDC 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat UPSI 2025, hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata pelancaran NCDC 2.0 serta integrasi ESD menzahirkan komitmen universiti tersebut dalam memperkukuh dasar pendidikan awal negara berasaskan data dan penyelidikan.
Sistem NCDC 2.0 kini memprofilkan 3,273 TASKA berdaftar, 16,350 kakitangan, 75,663 kanak-kanak bawah lima tahun serta 454,000 rekod perkembangan kanak-kanak, termasuk kohort pertama yang lahir pada 2010.
"Integrasi dengan rekod kesihatan membolehkan pemantauan yang lebih holistik serta perancangan intervensi awal yang tepat," jelas beliau.