fb fb fb fb fb

Sistem baharu pendekkan masa mendarat pesawat bermula Mei 2023

(FOTO HIASAN)

SEPANG, 12 Disember - Mulai 18 Mei tahun depan, Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melaksanakan sistem baharu yang akan memendekkan laluan mendarat pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) .

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata sistem dikenali Laluan Pelepasan Standard (SIDs) dan Laluan Pendaratan Standard (STARs) itu akan menjimatkan masa mendarat sekali gus menjimatkan penggunaan bahan bakar pesawat penerbangan.

"Dengan adanya sistem ini, dianggarkan boleh menjimatkan kos bahan bakar hampir RM500 juta setahun untuk syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA. Ini penjimatan besar kepada syarikat penerbangan dan diharap dapat membantu sektor penerbangan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), di sini.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melihat replika Kompleks Pusat Kawalan
Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada Lawatan Kerja Menteri Pengangkutan
ke KLATCC / FOTO BERNAMA)

Tambah Loke, secara kebiasaanya sesuatu pesawat perlu membuat beberapa pusingan sebelum mendarat dengan menunggu giliran masing-masing namun dengan sistem baharu, pergerakan pesawat lebih mudah dan dapat dipendekkan.

"Menerusi sistem ini juga, semua pesawat yang mendarat di KLIA boleh menjangka masa menunggu untuk mendarat lebih pendek antara 18 hingga 22 minit atau penjimatan jarak 44 hingga 67 batu nautika.

"Bagi penumpang, perjalanan mereka lebih pantas apabila pesawat boleh mendarat tepat waktu atau lebih awal daripada jadual, maka waktu penerbangan lebih pendek," katanya.

Selain itu katanya, sistem itu juga boleh mengoptimumkan kapasiti 108 penerbangan dalam tempoh satu jam berbanding anggaran 50 pesawat ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Kementerian Pengangkutan juga telah meminta syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan terutama pada musim perayaan.

Ini termasuk memanjangkan waktu operasi, selain menambah penerbangan tengah malam.

"Saya menyeru semua syarikat penerbangan untuk tambah penerbangan...dengan adanya penambahan penerbangan...harga dapat diturunkan dan ini logik dapat merendahkan harga tiket penerbangan kita," katanya.

Media Baharu