fb fb fb fb fb

Konsert Aspirasi Muzikal 2022 terus jadi platform pelajar MRSM kembang bakat

(FOTO BERNAMA)

SHAH ALAM, 12 Disember - Konsert Aspirasi Muzikal 2022 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus menjadi platform utama kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengembangkan bakat dalam bidang keseniaan.

Timbalan Pengarah (Sains Sosial) Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Dr Zulkifli Hussain berkata konsert tersebut menjadi medium bagi menggilap bakat pelajar selain memastikan mereka cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi dalam aspek lain seperti kesenian.

(Persembahan muzikal daripada pelajar Maktab Rendah Sains MARA sempena Konsert
Aspirasi Muzikal di Management Science University (MSU) Shah Alam / FOTO BERNAMA)

Katanya, konsert memasuki edisi keempat itu melibatkan 120 pelajar MRSM yang aktif dalam bidang pembangunan bakat terutamanya seni muzik, seni tari dan seni suara dari seluruh negara.

"Kita mahu pelajar ini cemerlang dan seimbang dalam kedua-dua aspek mahupun akademik atau kesenian, kita hendak lahirkan mereka yang berbakat secara keseluruhan.

"Program sebegini juga dilihat dapat menghilangkan sedikit tekanan mereka selain memberi peluang kepada pelajar untuk cemerlang dalam bidang yang mereka minati," katanya ketika ditemui pemberita selepas konsert tersebut di Performing Arts Theatre, Management and Science University (MSU), di sini, malam tadi.

Tambah Zulkifli, penganjuran konsert dua hari yang berakhir malam tadi bertemakan Ekspo Muzikal 80'an X Tribute to Mamat Khalid yang dilihat mampu mencabar kreativiti pelajar dalam menghasilkan satu persembahan kreatif.

Media Baharu