fb fb fb fb fb

Sindiket guna inap desa edar dadah tumpas

PONTIAN, 7 Mei- Satu sindiket mengedar dadah yang menjadikan inap desa sebagai transit, berjaya ditumpaskan polis Johor.

Lima lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan di Tangkak dan Pontian, antara pukul 8.45 hingga 10 malam Khamis lalu.

64.89 kilogram syabu dan 17.58 kilogram pil ekstasi bernilai lebih RM3.4 juta dirampas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata mereka yang ditahan empat warga tempatan dan seorang tekong warga asing berusia 23 hingga 53 tahun.

Dua suspek positif dadah manakala seorang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Kegiatan pengedaran dadah melalui jalan laut itu aktif sejak Januari tahun ini.

"Dadah ini jika terlepas ke seberang bernilai hampir 3 kali ganda daripada nilai sekarang. Ini menunjukkan mereka sedaya upaya melakukan kegiatan ini," katanya.

(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor.

Semua suspek direman tujuh hari hingga 11 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu