KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia sepenuhnya menerima kehadiran ketua-ketua negara dan delegasi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung minggu hadapan di ibu negara.
Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin berkata segala aspek pengindahan, infrastruktur serta logistik bandar telah diselaraskan lebih awal sebagai persediaan menerima tetamu antarabangsa.
“Kita bersiap sedia sepenuhnya. Tenaga kerja telah digerakkan, bilik gerakan diaktifkan dan pemantauan terus dilakukan bagi menghadapi sebarang situasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Seni Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 (ASN WPKL) di sini.
Tambahnya, pendekatan yang digunakan hampir sama seperti ketika penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang lepas, namun ditambah baik dengan pelbagai inisiatif pengindahan dan kemudahan bandar yang lebih moden dan menyeluruh.
“Kalau ikut persiapan, boleh dikatakan 100 peratus. Tapi kita terus pantau, kalau ada keperluan tambahan, tindakan segera akan diambil,” jelasnya.
Warga kota dinasihat agar dapat memainkan peranan penting dalam menjaga imej Kuala Lumpur sepanjang persidangan tersebut berlangsung.
“Kita harap warga kota faham situasi ini. Sama-sama jaga kebersihan, kawal trafik dan beri kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh sidang kemuncak itu berlangsung,” ujarnya.
