fb fb fb fb fb

Siasatan terperinci, dakwaan pesakit gagal dapat rawatan tepat hingga maut

KUALA TERENGGANU , 1 Ogos - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kegagalan Jabatan Kecemasan dan Trauma
Hospital Tuaran, Sabah memberi rawatan yang sewajarnya kepada seorang pesakit hingga menyebabkan kematian.

Jelas Menterinya, Dr Zaliha Mustafa kementerian itu juga akan mendedahkan hasil siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan itu benar.

"Tentang kes Tuaran ini Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah telah keluarkan kenyataan kita akan teliti dakwaan itu benar, JKN juga akan bertemu keluarga mangsa, dari semasa ke semasa kita akan beri kenyataan tentang apa yang berlaku kita tidak boleh tolak tepi kerana memang ada aduan daripada keluarga, kita akan lihat dan teliti apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian," kata Dr Zaliha, di sini.

Beberapa hari lepas, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pesakit yang dibenarkan pulang, selepas dikatakan tidak mengalami masalah kesihatan serius daripada hospital berkenaan, sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau yang melawat keluarga mangsa berkata beliau dimaklumkan bahawa, pihak hospital mendapati tiada masalah serius dan membenarkannya pulang selepas menjalani pemeriksaan.

Beliau dilaporkan berkata, sebelum itu pesakit terbabit dibawa ke Hospital Tuaran yang terletak berdekatan rumahnya, selepas mengalami rasa sakit akibat terjatuh.

(Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ditemui media semasa menyantuni pengundi
bersama calon Pakatan Harapan (PH), Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail)

Dr. Zaliha turut menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka ketika membuang undi pada Pilihan raya umum, 12 Ogos nanti, terutama membabitkan mereka yang bergejala COVID-19.

Media Baharu