fb fb fb fb fb

Siasatan rasuah ADUN Sabah ikut undang-undang, tiada campur tangan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memakai Sigar sukukaum Rungus Kudat menyampaikan ucapan perasmian sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, Sabah hari ini / BERNAMA

PENAMPANG, 30 Mei- Kerajaan tidak pernah menutup mana-mana isu berkaitan kesalahan rasuah di negara ini, termasuk video tular membabitkan dakwaan rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkaitan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes tersebut.

“Saya ikut hukum, saya kena lalui proses. Saya tak boleh sewenang-wenangnya tangkap orang. Siasatan itu kerja SPRM atau polis, pendakwaan itu kerja Peguam Negara, dan yang menghukum itu kerja hakim.

"Perdana Menteri hanya perlu pastikan sistem ini berjalan lancar. Bukan Perdana Menteri yang siasat, bukan Perdana Menteri yang dakwa, itu diktator namanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang hari ini.

Jelas Datuk Seri Anwar, video tular tersebut hanya menunjukkan potongan-potongan rakaman yang tidak dapat dijadikan bukti sahih di mahkamah untuk pendakwaan.

Mengenai video penuh kes itu, SPRM sudah menyerahkannya kepada pihak forensik untuk disahkan kesahihannya. Namun, siasatan terhalang kerana individu yang merakam video tersebut tidak tampil memberikan keterangan.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan semua siasatan berkaitan rasuah dijalankan secara telus dan mengikut undang-undang demi menjaga integriti pentadbiran negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE