PENAMPANG, 30 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kepelbagaian kaum dan budaya wajar dirai bersama, seiring semangat perpaduan yang menjadi teras kepada sambutan Pesta Kaamatan.
Menurut beliau, kekayaan budaya yang dimiliki Malaysia bukan sahaja menjadi identiti negara, tetapi juga menjadi jambatan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama.
"Saya boleh sebut 100 perbezaan antara Kaamatan dan sambutan Hari Raya Haji, saya boleh sebut ratusan perbezaan antara Kaamatan dengan Gawai atau Deepavali atau Krismas.
"Tapi saya juga boleh sebut ratusan persamaan. semangat ehsan, kebaikan, kemanusiaan, kepelbagaian dengan semua kaum dan agama di negara kita. Mengapa tidak pilih yang itu? Kepelbagaian itu boleh memperkukuh, kepelbagaian boleh mempersatu, boleh meningkatkan mutu," katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menjadi contoh jelas perpaduan politik yang matang, satu kerjasama yang memastikan suara rakyat terus didengar dan diambil kira dalam menentukan dasar pembangunan nasional.