TOKYO, 30 Mei – Malaysia menyertai Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 yang berlangsung di Tokyo, Jepun bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hadir mewakili kerajaan Malaysia dalam mesyuarat melibatkan negara-negara anggota APT.
Menurut kenyataan di Facebook rasminya, mesyuarat itu menjadi platform penting untuk merangka dasar dan strategi bersama ke arah pembangunan digital yang inklusif, mampan dan selamat di rantau Asia Pasifik.
Ia juga berperanan sebagai pentas kerjasama pelbagai hala di rantau yang pesat membangun dalam bidang teknologi.
Selain itu, APT turut menyokong negara-negara membangun dari segi bantuan teknikal, pembangunan kapasiti dan kawal selia ICT.
Datuk Fahmi berkata, komitmen bersama ini mencerminkan usaha berterusan ke arah memperkasa transformasi digital serantau demi kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
APT merupakan organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1979 hasil kerjasama antara United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) dan International Telecommunication Union (ITU).