KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kerajaan menegaskan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) masih dikekalkan untuk pengguna domestik, dan tiada keputusan dibuat untuk memansuhkannya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan menjelaskan, kekeliruan timbul susulan pelaksanaan Op Gasak sejak 1 Mei, bukannya kerana perubahan dasar.
Katanya, operasi itu dilaksanakan bagi membanteras ketirisan dan penyelewengan LPG bersubsidi yang makin berleluasa.
Op Gasak dikuatkuasakan di bawah Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, dan bukan satu dasar baharu.
Tumpuan utama operasi ialah menyekat penggunaan tong LPG bersubsidi oleh sektor industri dan perniagaan, serta membanteras pemindahan gas secara haram atau decanting.
Selain itu katanya, pemeriksaan ke atas restoran dan gerai makanan ketika ini bersifat advokasi, bukan tindakan keras.
Ia bagi memberi kesedaran tentang keperluan permit jika penggunaan melebihi tiga tong 14 kilogram pada satu-satu masa.
Tiada kompaun dikenakan, sebaliknya pemilik premis hanya diberi Kenyataan Pemeriksaan Premis sebagai langkah pematuhan.
Datuk Armizan turut menekankan keperluan reformasi subsidi secara bersasar susulan lonjakan kos subsidi LPG kepada RM3.4 bilion tahun ini, berbanding RM2.2 bilion pada 2013.
Katanya, subsidi tidak sepatutnya diberi secara pukal termasuk kepada restoran yang menjual makanan pada harga premium.
Tambah beliau, pendekatan MADANI menumpukan usaha meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat seperti menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pelarasan gaji penjawat awam, bukan semata-mata bergantung kepada subsidi terbuka.