PETALING JAYA, 3 Jun- Pihak pengendali media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram perlu bertanggungjawab terhadap penyiaran kandungan berkaitan bunuh diri di platform masing-masing.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegur Facebook dan X, atas kegagalan platform tersebut menunjukkan komitmen dalam menangani isu-isu kritikal seperti buli siber, penipuan dalam talian, serta penyebaran kandungan berbahaya termasuk berkaitan dengan bunuh diri.
Menurut Datuk Fahmi hanya TikTok mengambil langkah proaktif dengan menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) secara sukarela.
"Kita tidak boleh membiarkan platform-platform media sosial ini lepas tangan terhadap kandungan yang boleh membawa mudarat kepada masyarakat, khususnya berkaitan isu bunuh diri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri oleh CMCF di sini.
Menurut Datuk Fahmi, beliau telah meminta CMCF untuk berunding dengan Meta, X dan pemain industri lain, namun tiada yang tampil untuk menyertai forum tersebut.
"TikTok menunjukkan inisiatif sejak awal, bahkan sebelum kerajaan memperkenalkan pelesenan untuk platform media sosial dan sistem pemesejan dalam talian.
"Saya amat menghargai pendekatan TikTok yang menyertai Content Forum secara sukarela," katanya lagi.