fb fb fb fb fb

Melaka terima kelulusan bina tiga pelabuhan baharu

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

KUALA LINGGI, 3 Jun - Tiga pelabuhan baharu telah diluluskan untuk dibina di Melaka melibatkan, pelabuhan laut dalam di Pulau Melaka, Pelabuhan Tanjung Bruas dan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan KLIP sedang berjalan ketika ini manakala dua lagi pelabuhan dijangka memulakan pembinaan pada tahun ini.

"Untuk pengetahuan semua, Kerajaan Negeri Melaka telah pun mendapat kelulusan untuk membina tiga buah pelabuhan di anjung ini. Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi sedang dibangunkan dan dua lagi yang akan memulakan pembangunan dalam tempoh terdekat," katanya selepas lawatan kerja di Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Kuala Linggi, Melaka.

Jelas Datuk Seri Ab Rauf, pembangunan itu sekali gus mencerminkan fokus Kerajaan Negeri Melaka terhadap Ekonomi Biru (Blue Economy), bertujuan mengimbangi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, khususnya di Melaka.

Industri perikanan, tenaga boleh baharu, pelancongan marin serta pemeliharaan biodiversiti laut merupakan antara teras utama dalam inisiatif ini.

Terminal kapal persiaran (cruise) dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan bagi memudahkan kemasukan pelancong.

TETITIA YUSOFF